close
Sentuhan Yustie Dieanna

Sentuhan Yustie Dieanna

April 9, 2014

PENGALAMAN alam kolej dilalui Nurul Dieanna Atiqah Saifuddin, 21, begitu unik sekali, mengapa? Gadis ini begitu bertuah kerana ibunya, Noorma Yustie Abd. Majid, 37, merupakan rakan sekelasnya yang juga merangkap teman baiknya sepanjang tempoh hampir dua tahun mereka belajar di International Academy of Fashion & Design (IFTC) yang terletak di Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Bukan itu sahaja, selepas graduasi, pasangan ibu dan anak ini bergabung menghasilkan jenama mereka sendiri yang diberi nama Yustie Dieanna.

Ternyata Yustie Dieanna mempunyai kelainannya yang tersendiri. Noorma Yustie yang mempunyai kekuatan dalam menghasilkan rekaan tradisional kontemporari ditambah dengan kreativiti anak gadisnya, menghasilkan satu busana yang cukup indah dan ada kelainannya.

“Kami memang sama-sama meminati fesyen. Saya mengenali anak saya dan tahu minat serta kekuatannya, jadi saya mengambil keputusan mengikutinya belajar dalam jurusan yang sama iaitu diploma dalam bidang seni reka fesyen.

“Dalam kelas, kami mempunyai rakan yang sama malah pensyarah mengetahui hubungan kami anak-beranak. Walaupun begitu tidaklah bermakna kami hanya berkawan berdua. Kami berkawan dengan semua dan itu lebih menjadikan perasaan saya sebagai ibu tenang kerana dapat memantau pergerakan anak gadis sendiri,” kata Noorma Yustie yang ditemui di Studio Utusan Malaysia, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Contohnya apabila ada kerja berkumpulan, Noorma Yustie dan Nurul Dieanna akan berada dalam kumpulan yang sama.

Sebenarnya menurut Noorma Yustie, anaknya itu sudah biasa dengan fesyen kerana dirinya telah mengusahakan perniagaan butik pengantin sejak umur anaknya itu sembilan tahun lagi.

Rekaan eksklusif

Idea untuk membina jenama fesyen Yustie Dieanna bermula selepas mereka tamat belajar. Yustie Dieanna mempertaruhkan konsep fesyen bercita rasa tinggi.

Ini termasuk busana pengantin, busana ke majlis formal atau ke mana saja majlis rasmi. Semua pakaian yang dihasilkan Yustie Dieanna dijahit sendiri dan rekaannya juga eksklusif.

“Inspirasi kami ialah sentuhan songket, bermakna dalam setiap rekaan, kami menerapkan sedikit atau banyak elemen songket. Misalnya pada bahagian bahu atau butang mesti ada songket.

“Mengapa elemen songket? Ini kerana songket lambang kain mewah dan juga fabrik tradisi dalam masyarakat kita sejak turun- temurun. Jika kita lihat masa kini trend menggayakan songket di majlis perkahwinan juga semakin diminati.

“Untuk generasi muda pula kami menghasilkan songket dalam potongan yang lebih kontemporari dan akan datang lebih banyak pakaian kasual sedia dipakai juga akan menggabungkan sentuhan songket dengan fabrik selesa berkualiti lain,” kata Noorma Yustie lagi.

Mereka juga akan mengubah persepsi songket dari dilihat terlalu ‘berat’ kepada lebih ringkas dan moden.

Bagi meletakkan Yustie Dieanna di persada fesyen tanah air mereka perlu bekerja keras dan mengambil peluang untuk memperkenalkan hasil kerja mereka berdua.

Bagi mereka, apabila memasuki lebih banyak pertandingan fesyen membuatkan mereka yakin bahawa jenama ini mempunyai kekuatan dan boleh bertapak dalam industri ini.

“Ketika zaman belajar, kami berpeluang ke kota fesyen di Paris untuk menghadiri seminar di sana. Ilmu yang diperoleh di Paris memang membuatkan kami semakin bercita-cita tinggi. Namun semuanya tidak mudah dan usaha perlu dilakukan seiring dengan matlamat kami,” ujar ibu kepada lima anak ini.

Mengagumi Bernard Chandran

Yustie dan Dieanna turut berkongsi idola yang sama dalam bidang fesyen iaitu Datuk Bernard Chandran. Bagi mereka kejayaan Bernard ke peringkat antarabangsa adalah satu motivasi dan hasil rekaan Bernard memang memiliki keistimewaan yang tersendiri.

“Semenjak melangkah ke IFTC lagi kami berdua menanam cita-cita untuk berjaya seperti Bernard. Kata orang impian mesti tinggi supaya kita berusaha lebih lagi. Untuk memantapkan lagi jenama Yustie Dieanna kami memilih lokasi butik di Sunway Giza, Kota Damansara. Butik ini mula beroperasi kepada peminat fesyen eksklusif sejak dua bulan lalu,” ujarnya.

Dalam pembahagian kerja, Noorma Yustie mengakui kekuatannya lebih kepada pemasaran manakala anaknya pula di bahagian pengeluaran.

“Sekarang semua kami buat sendiri dari operasi hinggalah ke jahitan, kami bekerja keras hingga tidur pun tidak mencukupi, namun yang penting kami puas dan seronok apabila dapat mengejar cita-cita kami.

“Insya-Allah dalam tahun ini juga Yustie Dieanna akan mengeluarkan koleksi pakaian dalam eksklusif kami sendiri, saya sendiri yang akan mereka bentuknya dan akan memastikannya lain dari apa yang pernah dijual di pasaran komersial,” katanya yang akan memasuki kursus penghasilan pakaian dalam selepas ini.

Untuk menemui peminat fesyen, Yustie Dieanna juga akan menganjurkan satu makan malam amal bertemakan Touch of Songket bertempat di Hotel Royale Bintang, Seremban, Negeri Sembilan.

Majlis makan malam ini akan menampilkan pelbagai busana rekaan pereka muda tempatan yang berinspirasikan songket. Bukan itu sahaja, Yustie Dieanna mengambil tanggung jawab sosialnya dengan mendermakan sebahagian kutipan amal makan malam ini kepada Persatuan Parkinson Negeri Sembilan. Untuk maklumat lanjut sila hubungi 012-6460022. – NOOR FAZRINA KAMAL

Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/Feminin/20140409/fe_02/Sentuhan-Yustie-Dieanna#ixzz51sSGyaq6
© Utusan Melayu (M) Bhd