close
Minat tak pernah pudar

Minat tak pernah pudar

January 2, 2015

Sejak kecil dia memang suka melukis. Peliknya lukisan yang dihasilkan sangat teliti termasuk pakaian dipakai figura.

Setiap lakaran menampakkan potongan serta perincian menjadikan pemilik nama Safura Azali, 32, sangat popular di sekolah, malah ada rakan meminta dia menghasilkan lakaran baju raya mereka.

Oleh kerana ibu mempunyai harapan tinggi agar dia mengambil jurusan perubatan atau kejuruteraan, wanita kelahiran Petaling Jaya, Selangor ini tiada pilihan melainkan menuruti kehendak ibunya walaupun ketika itu hatinya meronta-ronta untuk menyertai bidang seni reka dan fesyen.

“Akhirnya saya melanjutkan pengajian dalam bidang kejuruteraan di Universiti Melbourne, Australia. Namun tidak sedikit pun hilang minat dalam bidang rekaan, tetapi saya cuba menyelami fesyen di sekitar kota Melbourne serta menghasilkan beberapa lakaran untuk pakaian saya nanti,” katanya yang kemudiannya menerima tawaran bekerja di sebuah syarikat pengeluar minyak terkenal sebagai jurutera.

Kata orang, ke mana sekalipun kaki melangkah minat tetap dibawa bersama. Sepanjang bekerja dia sentiasa mencuri peluang untuk menghasilkan rekaan sehingga ia bukan lagi menjadi rahsia dalam kalangan rakan-rakan. Mereka pula sangat menyokong dan mula menempah pakaian dengan Safura.

Berpendapat pereka fesyen harus mempunyai ilmu secara formal lantas dia menyambung pengajian secara sambilan di Pusat Latihan Fesyen Antarabangsa (IFTC) dalam bidang seni reka fesyen.

“Bermula dari situ, keyakinan diri semakin bertambah sedikit demi sedikit. Saya memberanikan diri menyertai pertunjukan fesyen seperti Minggu Fesyen Malaysia Antarabangsa (Mifa) 2010 dan 2011 serta paling manis penyertaan dalam Minggu Fesyen Melbourne 2011 di Australia untuk koleksi musim bunga dan panas,” katanya yang menggunakan 100 peratus pengalaman yang ada untuk meninjau, menganalisis dan membuat rangkuman mengenai rekaan yang akan menjadi tanda pengenalannya nanti.

Turut berkebolehan menghasilkan busana perkahwinan, rekaan pertama ialah tempahan daripada rakan karib sendiri. Hasilnya sangat mengujakan sehinggakan dia mula mendapat perhatian dalam kalangan selebriti seperti Akma AF3, Lana Nordin dan Ana Rafali.

Tumpuan pada fesyen

Menyedari setiap hari banyak masa dihabiskan dengan kerja kreatifnya, Safura berasa sudah sampai masanya dia perlu melepaskan jawatan sebagai jurutera untuk memberi sepenuh perhatian kepada fesyen.

“Saya pasti keputusan ini pasti tidak mendapat sokongan keluarga kerana mereka berasa kerjaya saya sudah kukuh dengan pendapatan lumayan. Saya mahu membuktikan saya mampu berdiri setanding pereka ternama lain, apatah lagi Malaysia ketandusan pereka wanita berbakat yang tahu aspirasi dalam fesyen,” katanya.

Ditanya tidak rugikah dengan segulung ijazah yang diperoleh kerana akhirnya memilih kerjaya pereka, sambil tersenyum anak ketiga daripada lima beradik ini menjelaskan, ilmu dalam bidang kejuruteraan membantu untuk menjadi lebih kreatif dan teliti, sekali gus menghasilkan rekaan yang cantik.

“Apa yang saya belajar tidak jauh bezanya dengan apa yang saya lakukan sekarang. Dalam sisi berbeza saya belajar mengenai teknikal kemudian saya menterjemahkannya pula di atas kertas menjadi busana yang indah,” katanya.

Percaya pada rezeki Allah, Safura gigih berusaha untuk menempatkan dirinya sebaris pereka sedia ada. Untuk itu, dia sanggup mengharungi apa saja cabaran asalkan minat dalam bidang ini diteruskan.

Oleh kerana beroperasi di rumah, jadi dia tidak mengharapkan pelanggan datang ke rumah, sebaliknya dia sanggup bertemu pelanggan walau di mana mereka berada. Apa yang dilakukan adalah membuat temu janji dan ke lokasi untuk mengambil ukuran.

“Kadang-kadang saya ke pejabat mereka, mengambil ukuran di surau. Pernah juga ke rumah pelanggan untuk mengambil tempahan. Saya membawa semua kelengkapan menjahit dan membuat pengubahsuaian di sana. Pelanggan sangat selesa dengan cara ini kerana mereka berasa lebih dihargai. Pada masa sama, mereka tidak mempunyai masa untuk datang ke rumah,” katanya yang kini mengeluarkan koleksi gaun dan baju kurung menyusu.

Rekaan daripada hati

Melihat hasil rekaannya yang kreatif dan tersendiri, dalam nada merendah diri dia memberitahu kehidupan ini harus jujur.

Jujur pada diri dan orang lain. Jika kita sudah melakukannya, ia akan terpancar menerusi kerja yang dihasilkan. Berpegang kepada prinsip pakaian terbaik hasil gabungan potongan dan warna fabrik, Safura mengharapkan dia mampu bertahan dan menghasilkan rekaan yang akan diingati semua.

“Pernah ada rasa, cantikkah rekaan yang saya hasilkan? Tetapi saya kembali kepada perkara asas, rekaan bersifat subjektif, justeru, ada yang suka ada pula sebaliknya. Kejayaan sebagai pereka dilihat apabila saya mampu menyelesaikan masalah pelanggan.

“Untuk memenuhi kepuasan semua memang sangat mustahil. Justeru, saya cuba menjadi diri sendiri dan memenuhi permintaan mereka,” katanya yang berharap mampu memiliki butik suatu hari nanti.

Artikel Penuh:https://www.hmetro.com.my/node/20854