close
Mengekalkan signatur kolar mandarin

Mengekalkan signatur kolar mandarin

May 1, 2011

DARI aras atas, ruang legar gedung The Weld, Kuala Lumpur kelihatan bagaikan sebuah taman yang ditumbuhi pokok-pokok menghijau. Variasi ton warna tersebut telah menyuntik mood segar sekali gus mengajak pengunjung gedung untuk terus menonton suasana yang jarang-jarang dilihat itu.

Itulah gambaran suasana sepanjang berlangsungnya pertunjukan fesyen Green Cheongsam yang dianjurkan sempena meraikan semangat Tahun Baru Cina yang bakal disambut dalam tempoh dua hari saja lagi. Warna hijau adalah pilihan pihak penganjur iaitu gedung The Weld untuk menyerikan sambutan tersebut pada tahun ini.

Mood pertunjukan fesyen bertambah meriah apabila 30 selebriti seperti Nasha Aziz, Juliana Evans, Erra Fazira, Fazura dan Zahnita serta barisan model jelita melangkah anggun dalam persalinan ceongsam yang kesemuanya hasil rekaan para pereka tempatan.

�Pertunjukan fesyen seperti ini sebenarnya membantu menaikkan dan memartabatkan nama pereka fesyen tanah air. Pereka fesyen Melayu juga diberi peluang menunjukkan kreativiti masing-masing dalam menghasilkan busana tradisional masyarakat Cina.

�Secara tidak langsung, ia memberi kesedaran kepada orang ramai bahawa selagi kita bergelar rakyat Malaysia, perbezaan kaum bukanlah halangan untuk mereka koleksi pakaian tradisional yang merentas budaya sendiri,� jelas pereka fesyen Hazree Wahid, 29, sambil membetulkan kaki kain ceongsam hijau rekaannya yang membaluti tubuh supermodel, Tengku Azura Awang.

Menjelas lanjut mengenai ceongsam hijau, graduan International Fashion Training Centre (IFTC), Kuala Lumpur itu menyatakan ia bagaikan memberi nafas baru pada koleksi rekaan ceongsam. Jika sebelum ini masyarakat lebih terdedah pada ceongsam rona merah, jingga dan merah jambu tetapi kini sebaliknya.

Sejajar dengan peredaran fesyen semasa, ceongsam masih tampak menawan digayakan asalkan ia menggunakan rona-rona ceria dan mengekalkan signatur ceongsam yang diwarisi turun-temurun.

Jelas Hazree yang pernah terlibat pada pertunjukan Minggu Fesyen Karachi 2009: �Sebab itu, saya masih kekalkan rekaan tipikal ceongsam seperti kolar mandarin dan potongan yang mengikut badan, walaupun konsep ceongsam rekaan saya menyelitkan elemen dres ala barat.

�Pada bahagian kaki baju, saya menggunakan kain net kombinasi hijau pucuk pisang dan rona kuning kehijau-hijauan.

�Keseluruhan ceongsam pula saya gunakan 40 meter satin Chamuse bagi menampakkan elemen glamor. Ini termasuklah perincian manik di bahagian bahu dan belakang ceongsam.

Moden kontemporari

Sementara itu, label Wanpa yang terlibat sama dalam menjayakan pertunjukan fesyen itu turut menyediakan ceongsam yang digayakan pelakon dan hos Galaksi TV9, Irma Hasmie.

Menurut salah seorang pereka Wanpa, Rashid Omar, 27, ceongsam berkonsepkan moden kontemporari itu menerapkan potongan siluet menawan dan masih mengekalkan signatur ceongsam iaitu pada bahagian kolarnya.

Tambahnya, jika sebelum ini pemakaian ceongsam popular pada majlis-majlis tertentu dan sambutan Tahun Baru Cina, tetapi dengan hadirnya rekaan ceongsam moden, wanita berpeluang menggayakan pakaian ini pada bila-bila masa.

�Namun begitu, biar moden atau ranggi sekalipun, kita jangan sesekali membuang keaslian signatur ceongsam itu sendiri,� ujarnya.

Menyentuh mengenai fabrik pilihan label Wanpa yang turut diterajui oleh Wan Mohd. Ridzuan Wan Ismail, likra dirasakan sesuai dengan faktor cuaca panas dan lembap di Malaysia.

Pada masa yang sama Rashid menyifatkan kain likra lebih selesa dipakai berbanding fabrik broked yang sering digunakan untuk membuat ceongsam.

�Dari segi warna, kami memilih hijau gelap yang sinonim dengan warna batu jed yang sering digayakan kaum Cina pada musim perayaan Tahun Baru Cina,� ulas Rashid selanjutnya.

Kepelbagaian songket

Berbicara mengenai showcase Green Cheongsam tersebut, tidak dinafikan ceongsam fabrik songket yang digayakan oleh pelakon Intan Ladyana dan Miera antara ceongsam yang menangkap pandangan para hadirin. Biarpun ringkas tanpa perincian sarat, penampilan anggun kedua-dua selebriti remaja berkenaan begitu menyerlah.

Menurut perekanya, Wan Huzairil Wan Hussein, 38, dia sengaja memilih fabrik songket bagi ceongsam berkenaan kerana cukup mengagumi keindahan dan hasil tenunan fabrik itu.

Secara tidak langsung inisiatif memilih songket hijau pucuk pisang dan terang itu menunjukkan bahawa tekstil warisan Melayu berkenaan mampu dipelbagaikan dalam apa jua rekaan busana.

�Bagi Miera, saya memilih songket penuh manakala songket hijau bunga tabur rona emas pula dipilih untuk ceongsam yang digayakan oleh Intan. Padanan aksesori juga tidak perlu terlalu sarat kerana fabrik songket itu sendiri sudah glamor dan mewah dengan motif dan coraknya,� terangnya yang pernah mendapat gelaran Raja Songket Kontemporari 2005, dalam satu pertunjukan fesyen sebelum ini.

Konsep 1Malaysia

Selain menampilkan 17 pereka tempatan yang berbakat besar dan kreatif menghasilkan ceongsam rona hijau yang menawan, Pertunjukan Fesyen Green Cheongsam turut diserikan dengan barisan model dan pelakon wanita terkenal.

Pada masa yang sama, selebriti bukan sahaja kelihatan anggun kerana membaluti tubuh dengan ceongsam hijau malah turut diserikan dengan kilauan barangan kemas Mandalay dan Rafflesia.

Menurut wakil penganjur, Bill Bora, pertunjukan fesyen itu bukan semata-mata untuk menyerlahkan kombinasi ceongsam hijau bersama aksesori mutiara atau jed. Sebaliknya, matlamat program tersebut lebih menjurus untuk menyokong kempen 1Malaysia yang sedang giat dijalankan.

�Cuba anda lihat suasana pada hari ini. Meskipun majlis ini berkaitan dengan fesyen Tahun Baru Cina tetapi ia tidak diraikan oleh artis dan model berbangsa Cina saja bahkan, mendapat sokongan daripada selebriti dan pereka fesyen pelbagai kaum,� ujar Bill.

Sementara itu, pelakon kelahiran Pulau Pinang, Faezah Elai, 29, melahirkan rasa gembira kerana turut serta dalam pertunjukan berkenaan. Meskipun sibuk dengan jadual karier seninya tetapi ia sama sekali tidak menghalang Faezah untuk hadir memperagakan ceongsam rekaan Salikin Sidek.

�Jangan tak tahu yang saya merupakan peminat setia ceongsam. Setakat ini saya sudah memiliki hampir 10 pasang ceongsam pelbagai warna, potongan dan rekaan. Minat mengumpul baju tradisional Cina ini tercetus sejak dibangku sekolah menengah,� jelas Faezah yang tampil dengan ceongsam yang diperbuat daripada fabrik sifon dan renda hitam di bahagian pinggang dan dada baju.

Artikel Penuh:http://ww1.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0131&pub=Kosmo&sec=Stailo&pg=st_01.htm