close
Kreativiti dres IFTC

Kreativiti dres IFTC

April 21, 2008

Persembahan Fesyen Pereka Muda IFTC 2008 merupakan sebahagian daripada kertas kerja pelajar semester akhir pusat pengajian tersebut.

PUSAT Latihan Fesyen Antarabangsa (IFTC) merupakan salah sebuah institusi pengajian fesyen terkenal dan tertua di negara ini. Pada 11 April lalu, sebanyak 68 rekaan ready-to-wear dan couture yang penuh berwarna-warni dengan sentuhan kreatif para pelajarnya dipamerkan kepada khalayak ramai di ruang legar Plaza Sungai Wang, Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Para pelajar junior mempersembahkan koleksi bergaya trendy dan chic ready-to-wear, manakala para pelajar senior mempamerkan koleksi pakaian couture penuh glamor seperti baju pengantin dan pakaian malam.

Persembahan dimulakan dengan peragaan koleksi kerja berkumpulan yang diberi tema Romantisme Biru yang memaparkan pelbagai bentuk pakaian berasaskan warna biru dengan sentuhan keperincian terhadap labuci dan ropol.

Peragaan diteruskan dengan paparan warna-warni koleksi kasual yang jelas memperlihatkan elemen stail dan digabungkan dengan ciri-ciri berani bereksperimentasi dengan corak dan keperincian lain.

Kombinasi warna dan corak seperti motif geometrik serta pengaruh harajuku memberikan koleksi ini tarikan yang tersendiri.

Sementara itu, bagi koleksi couture dan pakaian pengantin pula, para pelajar menampilkan potongan klasik yang digandingkan dengan elemen moden barat dan tempatan seperti potongan cheongsam, fabrik bertekstur, corak bulu haiwan, korset, renda, ropol dan labuci serta stail masa kini seperti lengan kembang.

Persembahan Fesyen Pereka Muda IFTC 2008 merupakan sebahagian daripada persembahan fesyen akhir semester pusat pengajian tersebut yang membolehkan pereka-pereka muda mempamerkan hasil kreativiti mereka berdasarkan tema Stail-Fokus bersempena musim bunga/panas 2008.

Koleksi kali ini memberikan fokus dan penekanan pada inspirasi kreatif yang menggabungkan gaya dan elemen fesyen Eropah.

Tidak terhenti di pentas peragaan pada hari itu, hasil karya yang terhasil akan dipamerkan semasa pelancaran Bilik Pameran Pereka Muda IFTC yang terletak di Bukit Bintang, Kuala Lumpur tidak lama lagi.

“Motif IFTC melalui penganjuran acara fesyen seumpama ini ialah mempromosikan dan membuka ruang kepada pelajar menonjolkan kreativiti mereka dalam mewujudkan sebuah platform dan nama dalam dunia fesyan masa hadapan.

“Ini seterusnya akan mengukuhkan visi negara dalam mempromosikan fesyen dan Kuala Lumpur sebagai hab fesyen antarabangsa di rantau Asia,” kata Pengasas IFTC, Annie Wong.

Bagi pelajar tahun akhir Diploma Fesyen IFTC, Catherine Liam, 21, penglibatan dalam peragaan fesyen tersebut merupakan satu pengalaman yang penuh bermakna kerana ia memberi peluang kepada pelajar merealisasikan rekaan dan imaginasi mereka berdasarkan suatu tema.

“Saya berpegang pada prinsip bahawa pakaian bukan sekadar cantik dilihat, tetapi haruslah selesa dipakai dan sesuai dengan acara,”katanya.

Tambahnya, penganjuran peragaan fesyen seperti ini memberi peluang kepadanya mempamerkan rekaan sendiri sekali gus mempraktikkan apa yang telah dipelajari selama ini.

Beliau menghasilkan dua pakaian malam yang menggunakan renda, satin dan voile.

Mengambil masa selama sebulan untuk menyiapkan dua rekaannya, Regina Tan, 18, berkata, penglibatannya dalam peragaan ini umpama satu impian yang menjadi kenyataan.

“Walaupun hanya diberi masa sebulan, saya masih dapat mengutip manfaat daripadanya kerana pendedahan ini mampu memberikan gambaran sebenar dunia fesyen yang sentiasa berubah mengikut trend,” kata gadis muda ini sambil memberitahu bahawa beliau meminati fesyen sejak kecil dan akan melukis rekaannya setiap kali ada masa terluang.

Menyatakan inspirasi rekaan datang daripada potongan gaun indah karya pereka terkemuka, Valentino, Regina menghasilkan dua rekaan pakaian malam yang memaparkan ciri-ciri feminin melalui penggunaan warna yang lembut dan fabrik beralun seperti organza.

Bagi Mira Nawi, 21, persembahan ini dianggap sebagai satu cabaran kepada dirinya sebagai seorang pelajar.

“Pengalaman ini membolehkan saya mempraktikkan ilmu teori yang dipelajari di kelas sekali gus menghasilkan rekaan tersendiri dengan gaya unik.

“Ia bukanlah satu perkara yang senang tetapi disebabkan cinta dan minat terhadap dunia fesyen, semua kesukaran yang datang dilihat sebagai satu cabaran yang mesti diharungi oleh setiap pelajar pada setiap masa. Jadi, kami harus sentiasa bersedia,” katanya sambil memberitahu acara peragaan ini merupakan satu cara untuk pelajar merasai sendiri pengalaman dunia fesyen di peringkat awal.

Beliau menghasilkan dua pasang pakaian pengantin yang menggabungkan elemen barat, Melayu dan Cina.

Rakannya, Intan Zaharah Hamzah, 25, mencelah : “Melalui program seumpama ini, kami dapat memperbaiki dan terus mengasah kemahiran dalam menghasilkan kerja yang bermutu tinggi untuk pelanggan kami suatu hari kelak.”

IFTC merupakan perintis dalam industri pendidikan fesyen tempatan dengan melahirkan ramai bakat-bakat muda bertaraf antarabangsa termasuk ikon fesyen negara, Datuk Bernard Chandran.

“Pusat latihan ini bermula sebagai sebuah sekolah fesyen dengan matlamat awal untuk memberi khidmat fesyen kepada komuniti tempatan,” ujar Annie yang telah mengasas IFTC pada tahun 1968.

Membuka pintunya di Petaling Jaya, Selangor, IFTC terus berkembang dan berpindah premis sehingga ke lokasi terkini di bangunan Yayasan Selangor yang terletak di Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

IFTC berpegang teguh pada objektifnya iaitu menyediakan latihan yang komprehensif untuk menyediakan graduan fesyen bertaraf antarabangsa.

Tidak terhenti pada rekaan pakaian, IFTC turut memberi penekanan terhadap rekaan kasut, beg tangan dan pelbagai produk berasaskan fesyen yang mempunyai pasaran komersial dan boleh disalurkan kepada kerjaya dan bidang perniagaan.

Dengan pengalaman yang hampir mencecah 40 tahun, IFTC menyajikan pendidikan fesyen berkualiti dengan kurikulum yang teratur dan kemudahan terkini termasuk perpustakaan, butik, mesin jahit dan komputer yang menggunakan perisian Computer-Aided Design (CAD) .

Kemudahan komputer CAD itu membolehkan para pelajar menterjemah dan mencetak idea, menghasilkan rekaan, corak dan warna dengan menggunakan teknologi terkini dunia fesyen.

Modul pengajaran juga sentiasa diperbaharui agar seiring dengan persekitaran fesyen terkini dan keperluan industri tersebut.

Satu ciri unik dan tersendiri IFTC ialah penggunaan teknik pengajaran Perancis yang diamalkan sejak awal penubuhannya.

 Artikel Penuh:http://ww1.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=0422&pub=kosmo&sec=akademi&pg=ak_01.htm