close
Kelayakan doktor, tapi pilih fesyen

Kelayakan doktor, tapi pilih fesyen

February 6, 2017

SEJAK di bangku sekolah apabila guru bertanyakan cita-citanya, Hazree Wahid akan terus menjawab bahawa dia ingin menjadi seorang doktor. Kerjaya itu sentiasa berada di dalam minda sehingga dia menamatkan persekolahan menengahnya.

Apabila menyambung pengajian di universiti, hatinya mula berbelah bahagi sama ada untuk memilih bidang perubatan atau fesyen. Ini kerana hatinya sudah mula berminat kepada fesyen.
 Bagaimanapun ibu bapanya tidak menggalakkan dia mengambil bidang itu, sebaliknya memilih perubatan kerana namanya memang terpilih bagi mengikuti pengajian berkenaan di Universiti Malaya. Kata mereka, belum ada lagi dalam kalangan keluarga mereka yang menjadi doktor dan dan mahukan Hazree memecah tradisi itu.
Tidak mahu membantah, Hazree, 34, mengikuti pengajian perubatan sehingga tamat pengajian dan berjaya menggenggam Ijazah Sarjana Muda Perubatan daripada Universiti Malaya.

Sepatutnya selepas tamat pengajian, dia perlu menjalani latihan sebagai doktor pelatih selama tiga tahun bagi melayakkan diri sebagai doktor. Namun demikian, Hazree enggan mengikuti latihan tersebut kerana minatnya terhadap fesyen semakin membara walaupun bertahun-tahun mengikuti pengajian yang jauh berbeza.

Akhirnya, dia menurut kata hati dan mengikuti kursus fesyen di Kolej Latihan Fesyen Antarabangsa (IFTC). Kursus ini sepatutnya mengambil masa selama tiga tahun tetapi Hazree mahu mencuba dahulu dan mengambil Diploma Lanjutan Fesyen selama setahun.

Dia berjaya lulus dengan cemerlang dan dihantar mengikuti kursus fesyen di Paris selama tiga bulan.

Semasa masih belajar di IFTC dia menyertai pertandingan Young Designer Award 2016 dan memenangi tempat pertama.

Sejak itu, dia merasakan keputusannya memilih fesyen adalah tepat. Ibu bapa juga akur dan mengakui mungkin rezeki Hazree terarah ke bidang fesyen.

“Minat kepada fesyen ini telah ada sejak saya kecil. Setiap kali ibu hendak keluar, dia akan bertanya saya sama ada bajunya sesuai atau tidak dengan tudung, beg tangan serta kasutnya dan sayalah yang sering memberikan pendapat.

“Saya suka melihat orang cantik, nampak kemas dan mempunyai koordinasi warna yang tidak begitu ketara.

“Sekarang terdapat ramai pereka fesyen, namun saya memilih fesyen kerana mahu mendidik masyarakat kita bagaimana hendak memakai dan peraga pakaian yang betul, dan bukannya mengikut suka. Kadang-kadang saya melihat ada yang memakai pakaian kasual seperti hendak bersiar-siar tetapi memakai tudung yang penuh dengan kristal atau labuci berjurai-jurai.

“Begitu juga dengan ke majlis. Tidak kisahlah sama ada anda memakai baju murah atau mahal tetapi harus sesuaikan pakaian dengan majlis. Apa salahnya jika memakai baju Melayu atau baju kurung kerana baju tradisional ini sangat sesuai untuk ke majlis seperti itu.

“Bukan hendak menunjuk pandai tetapi saya mahu mengajar orang cara berpakaian yang betul. Pengalaman ketika berada di luar negara, melihat masyarakat di sana sangat stailo, saya pun mahu masyarakat di sini seperti itu, pandai memilih serta memadankan pakaian supaya tidak dilihat pelik,” kata Hazree yang ditemui baru-baru ini.

Koleksi fesyen rekaan Hazree di bawah jenama Hazree Wahid dibahagikan kepada dua. Bagi pertunjukan fesyen, dia menghasilkan rekaan pakaian wanita untuk majlis formal, separuh formal dan baju pengantin, sementara untuk butik dan perniagaan, dia menerima tempahan pakaian.

Koleksi fesyennya pernah diperagakan di Eropah, Paris, London, Dubai, Doha, Pakistan, Milan, Jerman, Amsterdam dan Serbia. Dia juga pernah memenangi The Best Designer of the Year tahun 2015, Best Collection Runway Paris 2016 dan Best Show Collection di Serbia 2012.

Koleksi pakaian sedia dipakai Hazree Wahid sudah berada di Amsterdam dan Jerman sejak tahun 2011 sehingga sekarang. Setiap tahun dia akan membuat dua koleksi untuk musim bunga dan panas serta musim luruh dan sejuk.

“Dahulu saya bercita-cita hendak mengadakan pertunjukan fesyen di Eropah. Itu sudah tercapai. Apa yang menjadi cita-cita saya sekarang ialah hendak membuat pertunjukan fesyen besar-besaran di New York.

“Dalam masa yang sama juga saya ingin menjadi pakar rujukan fesyen atau konsultan fesyen,” kata Hazree.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/hiburan/kelayakan-doktor-tapi-pilih-fesyen-1.441114#ixzz51sFUEb8L