close
Ilham busana pengantin

Ilham busana pengantin

June 4, 2014

MENYARUNG busana pengantin yang cantik menjadi idaman setiap gadis yang akan bergelar raja sehari. Ada yang telah menyimpan angan-angan sejak kanak-kanak lagi untuk memakai baju impian seperti baju puteri yang dilihat di dalam buku cerita dongeng kanak-kanak.

Walaupun itu hanya impian, menjadi raja sehari adalah waktu yang paling istimewa, justeru, sudah sepatutnya anda dilihat paling cantik, anggun, menawan dan jelita. Paling penting, busana yang dipakai serba indah, sesuai dengan potongan badan dan dihiasi dengan perincian mengerlip dan nampak mewah.

Walaupun anda boleh menyewa baju pengantin, namun terdapat juga bakal pengantin yang ingin menempah baju pengantin mengikut kehendak mereka sendiri. Dengan menempah, anda boleh memilih warna yang diingini serta potongan atau rekaan yang bersesuaian.

Huda Hassan Wedding Couture menyediakan pelbagai perkhidmatan untuk bakal raja sehari daripada tempahan pakaian pengantin, sewaan baju pengantin, pelamin, solekan, pakej pengantin juga perancang majlis.

Dimiliki oleh Sharifah Huda Syed Hassan, 35, atau senang dengan panggilan Huda, dia banyak menimba pengalaman bekerja selama beberapa tahun di beberapa butik ternama seperti Mior’s Apparel dan Michael Ong, sebelum mengambil keputusan membuka butik sendiri di rumah dan pada tahun lepas membuka butik pengantin di Taman Puncak Jalil, Seri Kembangan, Selangor.

Menurut Huda yang berkelulusan Diploma Rekaan Fesyen dari Kolej Latihan Fesyen Antarabangsa (IFTC) ini, semasa masih menuntut lagi, dia telah menaruh minat yang mendalam dalam bidang rekaan fesyen baju pengantin.

Minat tersebut diteruskan sehingga ke hari ini dan turut memilih bidang tersebut untuk perniagaannya.

“Saya memperoleh suatu kepuasan apabila melihat seseorang pengantin yang saya hasilkan pakaian pengantinnya nampak cantik, anggun dan menawan pada hari istimewanya serta gembira dapat menunaikan kehendak dan impian pelanggan.

“Kadang-kadang ada pengantin yang tidak terserlah keanggunannya pada hari perkahwinan kerana pakaian pengantin yang tidak sesuai sehingga menjadi perbualan pula dalam kalangan tetamu.

“Oleh itu adalah penting bagi bakal pengantin berjumpa pereka pakaiannya, menunjukkan rekaan yang dikehendaki dan mendapatkan pendapat pereka.

“Jika hendak menempah, perlulah dibuat dua bulan lebih awal dari majlis. Tempahan untuk lelaki dan perempuan di mana kain disediakan oleh pelanggan sendiri bermula dari RM1,500 sementara jika kain daripada saya bermula dari RM1,800 ke atas ,” kata isteri kepada Hanif Abdul Hamid ini.

Tambah Huda, pengantin pada masa ini lebih menyukai rekaan yang moden, tidak terlalu serabut dengan ropol namun lebih pada perincian batu dan manik bagi lebih mencantikkan baju. Dari segi pemilihan warna, warna-warna lembut lebih disukai seperti kuning langsat, hijau lembut, merah jambu lembut dan sebagainya.

Potongan dan rekaan pula mestilah nampak sopan, sesuai dengan majlis, tidak terlalu ketat dan tidak jarang kerana perlu menjaga sensitiviti keluarga dan tetamu lebih-lebih lagi untuk majlis akad nikah yang dibuat di masjid dan dihadiri oleh kadi dan imam.

Fabrik pilihan terkini pula katanya ialah syifon, satin duchess dan renda Perancis kerana fabrik-fabrik ini merupakan pilihan utama kepada pereka-pereka fesyen. Rekaan pakaian akan nampak lebih terserlah dengan jahitan kristal, manik mutiara, manik kecil, labuci dan jemeki.

“Walaupun songket bukan menjadi pilihan ramai pengantin pada masa kini namun saya cuba menghidupkan kembali pemakaian songket dalam majlis perkahwinan dengan memodenkan semula potongan dan rekaan supaya nampak lebih menarik,” jelas ibu kepada seorang anak lelaki ini, Muhammad, enam tahun.

Selain menyediakan perkhidmatan untuk pengantin, Huda turut menerima tempahan membuat pelamin kecil bagi majlis cukur jambul yang lengkap dengan hiasan dan meja tetamu dengan bayaran bermula RM500 ke atas.

Bercita-cita bagi mengembangkan lagi perniagaan, Huda ingin membawa jenama Huda Hassan Wedding Couture supaya lebih dikenali di Malaysia dan negara-negara jiran.

Bagi yang ingin mendapatkan khidmat daripada butik ini boleh menghubungi beliau di 017-6755797 atau Facebook Huda Hassan Wedding Couture.

Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20140604/ke_01/Ilham-busana-pengantin#ixzz51sT6f4qj
© Utusan Melayu (M) Bhd