close
Fesyen bawa Liza ke Paris

Fesyen bawa Liza ke Paris

November 22, 2017

NURLIZA Azulkarnain, 28, seorang gadis yang tahu apa yang dimahukan dalam hidup. Pelajar terbaik di International Fashion Training Centre (IFTC) dan Paris American Academy (PAA) ini, berpegang teguh pada prinsip berusaha untuk berjaya biar apa jua halangan dan rintangan yang datang.

Demi matlamat yang jitu dan cintakan fesyen, Nurliza atau mudah disapa sebagai Liza , ke Paris semata-mata untuk menuntut ilmu dan mendalami maksud sebenar fesyen dari dahulu hingga kini.

Pada masa sama dia menimba pelbagai pengalaman di kota fesyen tersohor itu.

Idolanya ketika itu adalah Bernard Chandran, pereka tersohor yang juga pernah menuntut di IFTC, di Kuala Lumpur, dan PAA di Paris.

Nurliza sebenarnya mula berkecimpung dalam dunia fesyen semasa di bangku sekolah.

Ketika di tingkatan lima di Sekolah Menengah Teknik Setapak, dia mengambil mata pelajaran tambahan rekaan fesyen sebelum melanjutkan pengajian ke peringkat diploma dalam jurusan rekaan fesyen di IFTC.

“Selepas tamat diploma, saya melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah dalam jurusan rekaan fesyen dan haute couture.

“Dari situ saya menimba banyak pengalaman tentang sejarah-sejarah fesyen. Maksud sebenar haute couture iaitu seni jahitan teliti penuh seni dengan hanya menggunakan tangan, jarum dan benang.

“Saya amat sukakan fesyen yang bergaya. Saya sukakan pakaian yang cantik dan indah di mata.

“Kerana itu jugalah saya menceburi bidang ini. Untuk mengembangkan lagi bakat dan mereka sendiri pakaian-pakaian yang cantik dan glamor,” cerita Liza yang ditemui di studio jahitannya di Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

Selama hampir dua tahun di Paris, Liza mengakui itulah saat paling berharga dan kenangan paling manis dalam kehidupannya

Bahkan, itu juga impiannya sejak dari bangku sekolah lagi.

“Paris adalah kota fesyen dunia. Semua pereka terbaik dunia memiliki butik dan kedainya di sana. Malah galeri Jimmy Choo juga ada beberapa cawangan di sana,” katanya.

Selain itu kata Liza, Paris juga terkenal dengan kota yang paling romantis dan kaya dengan keindahan seni bina.

“Terlalu banyak pengalaman yang tidak dapat saya lupakan semasa belajar di sana, terutama apabila saya diberi peluang membuat latihan bersama pereka fesyen antarabangsa terkenal.

“Antaranya, Karl Lagerfeld, Elie Saab, Basil Soda, Manish Arora, Ingrid Vlasov, Alexis Mabille dan ramai lagi. Saya juga berpeluang melawat muzium-muzium fesyen seperti Madame Gres, Musee des Arts Decoratifs, Musee de la Mode et du Textile dan banyak lagi.

“Saya juga amat teruja apabila di PAA saya dapat belajar teknik-teknik haute couture bersama pekerja dari Madame Gres yang sudah berpuluh tahun bekerja dengan pereka legenda itu. Ia merupakan peluang yang diimpikan oleh semua yang bergelar pereka fesyen,” katanya.

Bagi Liza, dapat bekerja bersama pekerja Madame Gres dan Karl Lagerfeld umpama mimpi jadi nyata kerana kedua-duanya adalah pereka antarabangsa yang menjadi idolanya dari dulu hingga kini.

“Bayangkan begitu ramai pelajar di Paris yang menanti-nantikan saat dapat berjumpa dengan mereka dan saya adalah pelajar yang bertuah dan bernasib baik itu. Tidak semua dapat peluang seperti saya. Mungkin tiga orang dalam sepuluh yang terpilih.

“Saya begitu mengagumi Karl Lagerfeld kerana teknik haute couture nya amat menakjubkan dan rekaan-rekaan fesyennya begitu dahsyat,” kata Liza.

Menurut Liza lagi, Karl Lagerfeld adalah pengasas bagi jenama terkenal di dunia, Chanel. Dia telah bekerjasama dalam pelbagai projek yang berkaitan dengan fesyen dan seni, terutamanya sebagai ketua pereka dan pengarah kreatif untuk rumah fesyen Chanel.

” Walaupun tidak lagi berada di Paris, hampir setiap hari saya mengikuti perkembangan fesyen Karl Lagerfeld di laman sesawang,” kata Liza yang sedikit sebanyak mampu berbahasa Perancis.

Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/Feminin/20130605/fe_01/Fesyen-bawa-Liza-ke-Paris#ixzz4xYJ74ST8
© Utusan Melayu (M) Bhd