close
Eksperimen Lynda Rahim

Eksperimen Lynda Rahim

May 21, 2009

Setiap rekaan Lynda mengetengahkan elemen elegan, feminin dan personaliti si pemakai.

SENYUMAN yang diberikan Lynda Rahim, ketika melangkah masuk ke butiknya di Taman Dagang, Ampang, Selangor mencetus isyarat bahawa pereka fesyen berwajah jelita ini mudah didekati dan mesra.

Bagi sesiapa yang sudah lama mengenali personaliti itu, tentu maklum akan sifatnya yang ceria. Mungkin keramahan itu menjadi rahsia wanita berambut pendek ini sentiasa kelihatan muda remaja.

Wanita yang berasal dari Ipoh, Perak inilah yang bertanggungjawab menyerikan penampilan selebriti Sari Yanti pada majlis perkahwinannya yang berlangsung di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pemilik butik Lynda Rahim Kuala Lumpur, Lyndawati Kamarudin, 32, ini memberitahu, perkara pertama dalam fikirannya ketika mereka pakaian ialah menilai personaliti si pemakai.

“Saya juga perlu berbincang mengenai kehendak si pemakai, seperti bagaimana dia hendak menampilkan dirinya di sesebuah majlis dan khalayak ramai,” ujar Lynda yang gemar bereksperimen dengan fabrik berwarna putih kepada Kosmo!, baru-baru ini.

Baginya, unsur feminin perlu dijadikan teras penampilan setiap kali persalinan itu menyalut tubuh si pemakai.

“Apa yang penting dalam setiap rekaan, ia dapat menonjolkan elegan, feminin dan personaliti seseorang dan kesemua elemen itu pasti menyerlah dalam setiap rekaan Lynda.

“Salah satu kelainan yang cuba ditonjolkan dalam rekaan saya ialah mengehadkan penggunaan manik dan saya lebih fokus kepada jenis material dan potongan,” kata Lynda sambil menjelaskan kedua-dua perkara itu amat penting bagi menentukan keselesaan.

Ini dapat dilihat di butiknya yang mana terdapat pelbagai koleksi busana pengantin yang berkonsepkan perkahwinan moden dan kontemporari.

Kebanyakan busana pengantin di butik itu dihasilkan daripada fabrik moden seperti renda, net dan sulam. Pelbagai fesyen kebaya sama ada yang labuh atau pendek turut disediakan bagi menampilkan keanggunan pengantin.

Selain itu, butik Lynda juga menyediakan pelbagai pilihan aksesori pengantin.

Katanya, terdapat banyak pilihan warna aksesori yang boleh disesuaikan dengan tema perkahwinan.

Wanita yang sedang melanjutkan pengajian di Pusat Latihan Fesyen Antarabangsa (IFTC) itu juga berkata, kebanyakan pengantin mula membuat tempahan busana perkahwinan sejak dua hingga enam bulan lagi sebelum majlis sebenar berlangsung.

Untuk sebuah majlis perkahwinan yang indah, bukan sahaja busana memainkan peranan penting, malah pelamin, hantaran dan hiasan dewan juga penting.

“Bagi mereka yang mengidamkan sebuah perkahwinan mewah, pakej ini menguntungkan anda,” kata Lynda yang sentiasa mendapat sokongan penuh suami, Datuk Rahim Zain bagi menguruskan perniagaan butiknya itu.

Artikel Penuh:http://ww1.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0216&pub=Kosmo&sec=Stailo&pg=st_04.htm