close
Cabaran pemilik butik

Cabaran pemilik butik

April 11, 2014

MEMULAKAN perniagaan sebuah butik pakaian memang mudah. Namun, masalah akan timbul dan menjadi huru-hara apabila tukang jahit atau tukang potong kain tiba-tiba berhenti kerja.

Siapa yang akan menyiapkan tempahan pelanggan. Jika lambat mendapat pengganti, pelanggan akan marah dan mengambil semula kain mereka dan tidak akan datang kembali.

Cabaran ini diakui pemilik butik, Rahmah A. Aziz, namun dia bernasib baik jarang mengalaminya kerana dia sendiri mempunyai kelebihan boleh mengambil ukuran badan pelanggan, memotong kain, menjahit pakaian malah boleh juga menjahit manik.

Ringkas dengan panggilan Anna, dia mengakui, jika masalah seperti itu timbul dia sendiri akan melakukan semua kerja daripada mengambil tempahan pelanggan, menjahit dan sebagainya, sehingga mendapat pengganti.

Katanya, tukang potong dan tukang jahit adalah penting bagi perniagaan membuat pakaian kerana tukang potong memberi keselesaan kepada si pemakai baju, sementara tukang jahit pula menjadikan sehelai pakaian itu cantik.

Pemilik Butik D’Anna yang terletak di Seksyen 13, Shah Alam, Selangor ini, mengakui cabaran paling besar dalam perniagaan butik ialah pekerja yang berhenti silih berganti.

Apabila pekerja berhenti maka dia terpaksa melatih kembali pekerja baharu dan mengambil masa untuk menjadi mahir.

“Jika seseorang pekerja itu dapat melakukan pekerjaan yang berkualiti, maka hasil kerjanya juga berkualiti dan ini menjadi tunggak utama sesebuah butik.

“Pelanggan juga akan pergi pada butik yang dapat menghasilkan produk yang berkualiti,” kata Anna yang berkelulusan peringkat diploma dalam bidang rekaan fesyen dari International Fashion Training Centre (IFTC).

Dia yang telah 10 tahun memulakan bisnes butik pakaian dari awal lagi memilih membuat baju kurung yang eksklusif dengan jahitan manik.

Walaupun terdapat butik lain yang membuat baju kurung manik, baju kurung D’Anna memang nampak kehalusan jahitan manik dan batu-batu berkilat yang dijahit cantik dan rapi.

Menurut ibu kepada seorang anak perempuan, Marissa Tabassum berusia lima tahun, memilih membuat baju kurung manik kerana fesyen ini digemari oleh semua golongan dan peringkat usia.

Baju kurung juga tidak pernah dan tidak akan ketinggalan zaman kerana menjadi pilihan ramai wanita untuk dipakai ke majlis-majlis istimewa apatah lagi jika dihias cantik dengan jahitan manik.

“Antara jenis baju kurung yang saya hasilkan ialah baju kurung pesak gantung, baju kurung pesak Betawi, baju kurung moden dan ada juga dres yang ditempah untuk dipakai pada hari perkahwinan atau pernikahan.

“Setiap baju pasti ada perincian manik yang dijahit sama ada pada bahagian leher, depan baju, bahu, hujung tangan dan sebagainya.

“Manik yang dipilih juga haruslah berkualiti kerana ia membuatkan baju nampak lebih cantik. Selain manik, saya tambahkan juga dengan kristal, manik mutiara atau batu yang berwarna-warni.

“Pilihan fabrik juga penting kerana fabrik yang cantik mampu menjadikan baju itu nampak cantik dan eksklusif. Kebiasaannya saya menggunakan fabrik seperti syifon, sutera Shantung, duchess, sutera satin atau satin,” ujar isteri kepada Sarfraz Ahmad yang juga mempunyai perniagaan fabrik dan pakaian.

Kata Anna, bagi mengekalkan kualiti potongan baju, dia sendiri yang memotong baju pelanggan dan tidak diserahkan kepada pekerja yang melakukannya.

Dalam sebulan dia dapat menyiapkan sebanyak 40 helai baju kurung, namun bagi potongan yang ringkas lebih banyak lagi dapat disiapkan.

Mempunyai seramai tiga orang pekerja, tambahnya, setiap seorang pelanggan mempunyai keistimewaan daripada segi ukuran badan mereka.

Setiap orang memiliki bentuk tubuh yang berbeza dan bagi memastikan baju yang ditempah selesa dipakai maka sebaiknya badan pelanggan diukur terlebih dahulu.

“Wanita yang berbadan besar sebaiknya memilih warna yang sesuai dengan kulit. Jika kulit gelap, pilih warna yang lembut. Potongan baju juga jangan terlalu ketat atau longgar.

“Ramai pelanggan saya yang berbadan besar segan hendak memakai baju kurung berpotongan seperti baju kurung moden kerana berasa tidak cantik. Mereka hanya memakai baju kurung pesak sahaja.

“Sebenarnya yang berbadan besar juga cantik memakai baju kurung moden jika sesuai dengan ukuran dan potongan badan,” kata Anna yang turut menerima tempahan selendang yang boleh dijahit manik.

Dia yang merancang untuk membesarkan lagi perniagaan butiknya, juga menerima pelajar-pelajar bidang jahitan dari kolej vokasional yang ingin bekerja sambil belajar.

“Mereka yang berminat dalam bidang jahitan sebenarnya boleh berjaya dan memperoleh pendapatan lumayan jika mereka rajin,” ujar Anna.

Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/Feminin/20140411/fe_02/Cabaran-pemilik-butik#ixzz51sPeDwlH
© Utusan Melayu (M) Bhd