close
Biar tampak sesuai di pelamin

Biar tampak sesuai di pelamin

December 3, 2016

Jika bercakap mengenai majlis perkahwinan, kerjasama daripada kedua-dua pihak pengantin sangat penting bukan saja untuk memastikan majlis tampak sempurna dan berjalan lancar malah mempengaruhi penampilan di atas pelamin.

Pastinya, penampilan ratu dan raja sehari tampak sedondon jika bijak memilih persalinan sesuai dan dibantu dengan dekorasi pelamin yang menarik.

Pemilik Dianna Couture Kuala Lumpur, Rahmah A Aziz berkata, cara terbaik adalah dengan berbincang terlebih dulu bersama perunding majlis dan pereka fesyen untuk menentukan warna, fabrik serta rekaan diinginkan agar sesuai digandingkan bersama di atas pelamin.

“Misalnya, trend pemakaian gaun daripada fabrik net yang kini menjadi pilihan ramai bakal pengantin untuk digayakan di majlis persandingan mereka.

“Namun, bukan semua wanita sesuai mengenakan rekaan dan fabrik itu terutama individu yang memiliki tubuh berisi. Penampilan mereka kelihatan lebih menarik jika menggayakan persalinan yang diperbuat daripada kain sifon bagi menyembunyikan kekurangannya,” katanya.

Ujarnya, perubahan aliran industri fesyen dalam dunia perkahwinan berkembang dengan pesat dari semasa ke semasa, sama seperti solekan yang juga penting untuk memberi keseimbangan pada penampilan pasangan pengantin.

Oleh itu, gabungan dua aspek berkenaan mampu menonjolkan penampilan pasangan pengantin. Namun, sangat penting untuk memastikan pemilihan warna, fabrik dan rekaan bersesuaian dengan diri mempelai supaya sepadan dengan dekorasi pelamin dan lokasi yang dipilih.

Pelajar lepasan International Fashion Training Centre (IFTC) yang berpengalaman luas dalam bidang fesyen perkahwinan itu membuka butik sejak tahun 1998.

“Saya memang sukakan fesyen namun bukan untuk diri sendiri tetapi lebih gemar mengubah individu lain menjadi lebih cantik dan istimewa terutama pada hari persandingan mereka.

“Bidang fesyen ini menarik kerana sentiasa ada perubahan daripada pelbagai aspek seperti rekaan, warna dan fabrik. Sama seperti bidang perkahwinan yang mempunyai cabang luas untuk diterokai,” katanya.

Pada masa sama, Rahmah turut berkongsi tujuh panduan menarik mengenai perkara penting yang perlu dilakukan bakal pengantin sebelum majlis berlangsung untuk membantu menaikkan seri mereka. Antaranya:

1. Banyakkan minum air kosong. Ini bagi memastikan cecair dalam badan sentiasa mencukupi sekali gus memberi kebaikan kepada penampilan kulit yang lebih sihat dan lembap.

2. Amalkan pengambilan vitamin dan susu. Disebabkan sibuk dengan urusan pekerjaan dan majlis perkahwinan, ada sesetengah bakal pengantin tidak cukup tidur dan makan. Justeru, vitamin tertentu atau susu membantu mengembalikan tenaga yang berkurangan.

3. Lakukan rawatan kecantikan. Jika kulit tampak kusam atau bermasalah, lakukan rawatan kecantikan lebih awal bagi memperoleh kesan yang diinginkan. Kita juga boleh melakukan rawatan kecantikan sendiri di rumah seperti melulur badan jika tidak berkesempatan untuk ke spa.

4. Biasakan diri memakai korset. Lima atau enam bulan sebelum majlis berlangsung, sebaiknya amalkan pemakaian korset bagi mendapatkan bentuk tubuh yang menarik.

5. Kurangkan pengambilan minuman berais, bergas dan makanan berminyak

Pengambilan minuman berais secara kerap mungkin boleh menyebabkan perut buncit. Bukan itu saja, bakal pengantin juga perlu mengamalkan diet seimbang bagi memastikan badan sentiasa sihat dan mengelakkan peningkatan berat badan.

6. Banyakkan zikir, selawat dan doa agar majlis berjalan dengan lancar.

7. Pada masa sama, rajin-rajinlah mencari panduan bermanfaat mengenai kesihatan dan kecantikan daripada sumber yang boleh dipercayai.

Artikel Penuh:https://www.hmetro.com.my/node/186331