close
Bakat pelajar IFTC reka dres

Bakat pelajar IFTC reka dres

August 21, 2009

Walaupun baru setahun jagung dalam dunia fesyen, ternyata bakat pelajar-pelajar IFTC mengagumkan.

DARI jauh kedengaran kerancakan alunan muzik setibanya kehadiran wartawan GenK ke pusat beli-belah Sungei Wang Plaza, Kuala Lumpur. Rupa-rupanya satu pertunjukan fesyen daripada pelajar-pelajar Pusat Latihan Fesyen Antarabangsa (IFTC) sedang berlangsung.

Ia bertempat di aras bawah Sungei Wang. Pertunjukan itu merupakan persembahan anak-anak muda yang baru setahun jagung dalam arena fesyen tempatan.

Rekaan pelbagai jenis gaun unik dan cantik yang dipertontonkan begitu sarat dengan kreativiti dan keluar daripada kepompong fesyen lama.

Sekali gus ia menyerlahkan kemampuan pelajar-pelajar dalam lingkungan usia antara 18 hingga 37 tahun itu. Siapa tahu hasil rekaan mereka mampu mengangkat nama negara di pentas antarabangsa suatu hari nanti.

Pelbagai jenis rekaan dipersembahkan sepanjang acara dua jam itu. Paling mencuri perhatian ialah himpunan Jullan Jansen Goh, 20, sehingga berjaya mendapat tepukan gemuruh daripada para penonton.

Mengambil masa sehingga empat bulan, fesyen gaun labuh rekaannya menjadi pilihan wanita untuk digayakan pada majlis-majlis rasmi.

Menurut jejaka yang berasal daripada Subang Jaya, Selangor itu, minatnya dalam dunia lukisan bermula sejak kecil lagi.

Katanya, beliau memperoleh ‘A’ bagi mata pelajaran Pendidikan Seni sejak darjah satu sehinggalah beliau menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Sejak kecil fokus lukisan saya bukan hanya pemandangan atau landskap tetapi juga dres-dres ringkas. Bayangkan semasa di tadika, guru mengajar di depan papan putih, saya pula melukis baju di atas kertas,” katanya yang pernah dimarahi guru kerana tidak fokus dalam pelajaran.

Ternyata obsesnya itu tidaklah sia-sia. Akhirnya, impian untuk menjadi pereka fesyen termakbul biarpun ia masih di peringkat bertatih.

Sanggup memperuntukkan lebih RM1,000, fesyen gaun labuh tersebut hasil tangan Jullan sering menjadi pilihan wanita untuk digayakan pada majlis-majlis rasmi pada malam hari.

Bagi wanita muda, fesyen gaun malam yang menjadi pilihan biasanya hadir dalam rekaan glamor gabungan elemen moden dan tradisional.

Jelas anak muda itu lagi, beliau beruntung kerana dapat belajar mengenai fesyen di IFTC.

“Selepas tamat SPM, saya berbincang dengan ibu untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang fesyen kerana bagi saya bidang fesyen adalah sesuatu yang menarik untuk diteroka,” katanya yang menyimpan keinginan untuk menjadi salah seorang pereka fesyen terkenal satu hari nanti.

Bagi seorang lagi pereka, Nur Jihan Datuk Abdul Halim, beliau merupakan peserta paling muda yang mewarnai pentas pertunjukan fesyen pada hari itu.

Berusia 18 tahun, beliau menyertai IFTC pada tahun lepas. Nur Jihan tertarik untuk mendalami ilmu fesyen kerana suka melihat pakaian-pakaian yang cantik sejak di bangku sekolah.

Sejak itu, beliau mula melakar sendiri rekaan-rekaannya dan menyimpan keinginan untuk menjadi pereka fesyen terkenal.

Bagi Bhaggawent Kaur, 19, guru-guru di IFTC banyak membantu memberi idea dan tunjuk ajar dalam menghasilkan rekaan untuk pertunjukan pada malam itu.

Gadis yang menjadikan Bernard Chandran sebagai idolanya itu juga berharap agar pereka-pereka muda sepertinya mampu untuk mencipta nama di peringkat antara bangsa.