close
Ada istimewanya baju kurung

Ada istimewanya baju kurung

December 27, 2008

Penglibatan kaum bukan Melayu dalam pembuatan pakaian tradisi Melayu terutamanya baju kurung tidak lagi asing malah telah pun menjadi salah satu jenis perniagaan yang paling berpotensi di kalangan mereka.

Rata-rata tukang jahit baju kurung terdiri daripada kaum Cina dan merekalah yang memulakan perniagaan kedai jahit sejak tahun 50-an.

Oleh sebab jiwa menjahit itu telah sebati dalam jiwa mereka, adalah tidak menghairankan kemunculan lebih banyak lagi tukangjahit dan pereka yang dipelopori oleh kaum ini.

Mereka juga turut mendalami rekaan pakaian tradisi yang sentiasa dibaharui mengikut peredaran zaman.

Jika dahulu hanya baju kurung cekak musang atau baju kurung tulang belut dan kebaya labuh atau pendek tetapi kini, pelbagai jenis baju kurung boleh ditemui mengikut peredaran masa.

Salah seorang bukan Melayu yang menceburi bidang jahitan baju kurung ini ialah anak muda yang berasal dari Bentong, Pahang, Michael Shu, 32.

Beliau telah menceburi bidang ini selama 10 tahun setelah menamatkan pengajian di International Fashion Training Centre (IFTC) dalam bidang rekaan fesyen.

Menurut Michael, penglibatan dalam pembuatan baju tradisi Melayu adalah secara kebetulan.

Bapa saya mempunyai sebuah kedai tekstil di Bentong dan sebanyak 80 peratus pelanggannya adalah terdiri daripada orang Melayu.

Tamat sahaja saya daripada IFTC, sekadar suka-suka, saya telah membuat sepasang baju kebaya labuh sebagai percubaan dalam pembuatan baju tradisi lalu digantungkan di kedai bapa.

Nasib saya baik kerana kebetulan seorang datin datang untuk membeli kain telah berminat dengan baju saya itu lalu mencubanya dan merasa selesa dan terus membelinya. Ini telah memberi suntikan kepada saya dalam pembuatan baju tradisi Melayu.

Sejak itu dengan pertolongan datin itu, saya banyak menerima tempahan baju tradisi daripada rakan-rakan dan saudara maranya,’’ katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Pemenang kedua Piala Seri Endon 2004 ini hanya berhijrah ke Kuala Lumpur pada tahun 2005 setelah berulang alik dari Bentong selama empat tahun.

Beliau yang memberani diri membuka butik di Mont Kiara sebelum berpindah ke premis sekarang iaitu di Hotel Park Royal menyatakan ramai yang menyatakan membuat baju kurung mudah kerana ia berpotongan lurus dan longgar.

Tetapi pada saya, baju kurung mempunyai keistimewaannya kerana ia boleh diubahsuai tetapi identitinya masih boleh dikekalkan.

Justeru, saya sering membuat pengubah suaian untuk kelihatan lebih moden tetapi masih mengekalkan tradisinya pada bahagian pesak. Pengubahsuaian inilah yang membuatkan bangsa bukan Melayu turut berminat memakai pakaian tersebut,’’ jelasnya.

Katanya, jika dilihat, rata-rata di mana-mana terutamanya hari Jumaat atau di pejabat kerajaan atau sektor swasta, ramai orang bukan Melayu memakai baju kurung bukan sahaja bagi menghormati hari itu tetapi juga kerana minat kepada pakaian itu.

Pakaian ini telah dikomersialkan dan turut digilai oleh bangsa lain terutamanya apabila ia telah dibuat pengubahsuaian yang menjadikan pakaian itu nampak elegan dan kontemporari.

Pada tahun ini, rekaan baju kurung saya lebih ke arah yang lebih glamor.

Saya telah mengubahsuaikan kain kepada rekaan can can dan potongan badan agak lurus hingga lutut tetapi tidak terlalu ketat. Ini adalah mengikut trend fesyen 2008/2009, jelasnya.

Menurut Michael yang turut melakukan kerja-kerja memotong, menjahit ada menghias baju rekaannya itu, membuat baju tradisi ini sebenarnya cukup mencabar.

Ini bagi menyesuaikan rekaan baju kurung itu supaya bangsa bukan Melayu malah masyarakat luar Malaysia turut tertarik untuk memilikinya dan seterusnya memakainya sebagai salah satu kostum mereka.

Begitu juga dengan potongan baju kurung yang harus dititik beratkan untuk menjadikan pakaian itu nampak cantik dan elegan,’’ katanya yang turut menghasilkan rekaan kasut disesuaikan dengan fesyen pakaiannya.

Beliau turut menyatakan hasrat untuk melihat semua bangsa memakai baju kurung yang telah dinaikkan martabatnya sebagai pakaian yang glamor, cantik dan bersopan.

Kini, baju kurung turut dihias dengan jemeki, labuci dan menggunakan teknik suai padan iaitu memakai dengan tube atau top bagi baju yang jarang.

Ia tidak lagi kosong semata-mata, pelbagai hiasan yang menjadikan baju kurung boleh diterima oleh semua bangsa tanpa menghilangkan ciri tradisionalnya,’’ katanya pada akhir perbualan.

Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1227&pub=Utusan_Malaysia&sec=Keluarga&pg=ke_03.htm#ixzz51sZGAyoe
© Utusan Melayu (M) Bhd